Kementerian Wanita memberi sokongan moral dan emosi kepada mangsa banjir Baling, kata menteri
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan pusat sokongan sosial setempat dengan kaunselor bagi memberi sokongan moral dan emosi kepada mangsa banjir di daerah ini.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata mangsa memerlukan bimbingan psikososial dalam menangani tragedi itu kerana didapati ada antara mereka yang trauma dengan kejadian itu.
“Seperti yang kita tahu ada antara mereka yang trauma. Saya turut dikunjungi oleh beberapa wakil dari kawasan perumahan berhampiran walaupun tidak terjejas, mereka juga berasa trauma kerana sentiasa bimbang jika rumah mereka selamat atau sebaliknya.
“Oleh itu, kita perlu memberi bantuan psikososial kepada mereka,” katanya kepada Bernama selepas sesi taklimat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau An-Nur dekat sini hari ini.
Rina berkata peniaga wanita yang terjejas banjir akan dibantu dari segi modal asas untuk memulakan perniagaan mereka.
Mengenai sumbangan itu, beliau berkata ia dalam bentuk bakul makanan serta peralatan elektrik seperti periuk nasi dan kipas yang turut disumbangkan oleh syarikat korporat serta kementeriannya.
Fenomena banjir dan lonjakan air pada Isnin meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil. Sebanyak 12 kampung terjejas dengan 15 rumah rosak teruk sehingga tidak boleh didiami lagi. ― Bernama