Mahkamah menolak saman fitnah Tajuddin terhadap Khalid Samad, NSTP, KiniTV
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh Ahli Parlimen (AP) Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd, dalam berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati kenyataan Khalid selaku defendan pertama tidak berunsur fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen munasabah dan perlindungan bersyarat.
“Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat penerbitan bona fide (niat baik) mengenai perkara kepentingan awam dan penerbitan yang dibuat adalah adil dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap semua defendan ditolak tanpa perintah kos kerana ini adalah kepentingan awam,” katanya.
Latifah, dalam penghakimannya, berkata komen Khalid itu susulan tingkah laku keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen, dengan menggunakan kenyataan tidak berparlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata ini disokong oleh keterangan saksi ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.
“Mahkamah juga berpuas hati bahawa kenyataan yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang munasabah dan tanpa niat jahat, yang berdasarkan fakta yang dalam pengetahuan defendan pertama sendiri,” katanya.
Latifah berkata kes itu berpunca daripada tingkah laku plaintif (Tajuddin) di Parlimen pada 21 November 2016, di mana beliau telah mengeluarkan kenyataan seksis dan menggunakan bahasa tidak parlimen dalam ucapannya terhadap ahli parlimen Seputeh yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parlimen pembangkang, khususnya Khalid.
Beliau berkata mahkamah berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk plaintif mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu. Mereka dilafazkan tanpa provokasi dan tiada kena mengena dengan perbahasan yang sedang berlangsung ketika itu.
“Semasa menjawab pemberita, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tiada motif lain. Rasional plaintif bahawa dia hanya merujuk kepada nama keluarga Ahli Parlimen Seputeh itu tidak berasas, memandangkan keseluruhan konteks perkara itu,” katanya.