Muhyiddin berkata penerimaan pengundi terhadap Perikatan menggalakkan
Kempen oleh Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri Johor berjalan lancar apabila memasuki hari kelima, dengan pelbagai aktiviti dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang aktiviti turun padang bersama calon, beliau mendapati penerimaan masyarakat setempat terhadap PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan di Semenanjung amat menggalakkan.
“(Momentum) bagus, tetapi kita baru bermula selepas penamaan calon kita akan tingkatkan di setiap peringkat, kita telah wujudkan, di peringkat zon, bilik gerakan pusat dan zon, kita ada pengarah memantau keadaan di setiap DUN yang kita tandingi serta tindakan campur tangan untuk memperbaiki keadaan
“Walaupun dikatakan Johor kubu Umno, tetapi apabila mereka (penduduk) melihat saya, ada keyakinan bahawa PN adalah parti yang baik,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di DUN Gambir hari ini.
Presiden Bersatu berkata PN berhasrat memulihkan ekonomi Johor dengan menekankan aspek pembangunan dan pada masa yang sama membentuk kerajaan negeri yang bersih, cekap dan berprinsip.
“Esok saya akan ke Johor Bahru semula di mana semua calon kita akan mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa ini menunjukkan hasrat kita untuk membentuk kerajaan (negeri) yang berintegriti,” kata Muhyiddin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Mengulas surat Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi Johor yang mengaitkan beliau (Muhyiddin) menghalang usaha mensabitkan kesalahan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, Muhyiddin menafikan dakwaan itu.
“Apa yang saya lakukan untuk menggagalkan usaha membawa Najib ke muka pengadilan? Saya menentang mereka dan sebab itu saya kalah dan saya tidak bersedia untuk berkompromi dengan apa yang telah dilakukan dari segi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa. Mahkamah akan membuat keputusan dan ia bukan lagi soal politik tetapi isu undang-undang,” katanya.
Dalam suratnya hari ini, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin membelakangkan pengundi dan rakan kongsi dalam Pakatan Harapan untuk mencapai cita-cita menjadi perdana menteri.