Muhyiddin jumpa PM, bincang jawatan TPM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk jawatan timbalan perdana menteri.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata mesyuarat itu diadakan beberapa hari lalu bagi mempertimbangkan perjanjian sebelum ini antara gabungan itu dan perdana menteri.
“Saya bertemu dengan Perdana Menteri beberapa hari lalu di mana saya telah membangkitkan beberapa isu penting termasuk pelantikan dalam kerajaan bukan sahaja untuk mengisi kekosongan tetapi juga berkaitan pelantikan baharu.
“Kami tidak meminta lebih (daripada yang telah dipersetujui), hanya mengenai pelantikan timbalan perdana menteri dan menteri serta yang melibatkan agensi berkaitan kerajaan dan badan berkanun serta peruntukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.
Terdahulu, Muhyiddin merasmikan majlis pemimpin PN bersama rakyat dan melancarkan jentera PN peringkat negeri di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi PN Kelantan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Bersatu dan PAS telah memutuskan untuk menggunakan logo PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Perkara ini telah dipersetujui oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan PAS boleh mengesahkan perkara ini. Sebagai contoh, di Johor, bukan sahaja Bersatu akan bertanding, malah PAS juga.
“Itu keputusan yang saya terima dan saya rasa keputusan itu kekal. Namun dari segi pembahagian kerusi, ia belum diputuskan lagi,” katanya.
Beliau berkata beberapa parti telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai gabungan itu tetapi mereka menangani perkara itu dengan berhati-hati. — Bernama