Pengasas Kumpulan Emkay Mustapha Kamal meninggal dunia, akan dikebumikan hari ini
Tokoh korporat dan pengasas pemaju hartanah Kumpulan Emkay Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 73 tahun.
Portal berita Astro Awani melaporkan lelaki yang dikenali sebagai “bapa rumah mampu milik” itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara di sini.
Menurut laporan berita, anak perempuan Mustapha, yang hanya dinamakan sebagai Felina, berkata bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.
Mustapha memulakan kariernya sebagai penjawat awam sehingga menjawat jawatan timbalan pesuruhjaya di Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang kini dikenali sebagai Jabatan Tanah dan Galian.
Beliau kemudiannya menjadi pengarah Shah Alam Properties Sdn Bhd.
Pada tahun 1983, beliau menubuhkan Kumpulan Emkay, yang kemudiannya disenaraikan secara terbuka sebagai MK Land Holdings Berhad pada tahun 1999.
Menurut Astro Awani, setakat 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit ruang kediaman, komersial dan pejabat, serta menjual lebih 35,000 unit kediaman berharga bawah RM100,000 di kawasan termasuk Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.