PM Ismail Sabri: Malaysia, Turki perkukuh kerjasama melalui perkongsian teknologi

Malaysia Post
Jun 17, 2022

Malaysia dan Turki akan terus mengukuhkan kerjasama melalui perkongsian teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam catatan di laman Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata perkara itu adalah antara isu yang dibincangkan semasa kunjungan hormat yang diterima daripada Duta Turki Merve Safa Kavakcı, bersama wakil dua gergasi industri pertahanan negara itu hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan meneroka peluang kerjasama perkongsian teknologi dengan syarikat dari Turki.

“Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Servet Akkaynak dan Industri Aeroangkasa Turki (TAI), diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Temel Kotil, menjemput saya melawat kilang mereka di Turki.

“Mereka berminat untuk meneroka peluang perkongsian teknologi terutama dalam bidang aset pertahanan dan aeroangkasa. Insya Allah, kami akan mengukuhkan lagi kerjasama Malaysia-Turki,” menurut catatan Facebook itu. ― Bernama

--

--

Malaysia Post

Sebaran berita terkini hanya untuk anda! Sumber berita terhangat and masa kini di dalam dan luar negara! Ikutilah kami TheMalaysiaPost : www.themalaysiapost.com