PM sambut Raya bersama Chong Wei

Malaysia Post
2 min readMay 5, 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sempena Hari Raya Aidilfitri, selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Ismail Sabri berkata setiap tahun Chong Wei, isterinya Datin Wong Mew Choo dan anak lelaki pasangan itu Kingston dan Terrence akan melawatnya sempena sambutan Aidilfitri.

“Chong Wei sangat rapat dengan saya sejak saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, sehingga kini,” katanya.

Ismail Sabri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Chong Wei kerana telah mengharumkan nama negara di arena antarabangsa.

“Semoga Chong Wei akan terus membantu meningkatkan prestasi negara dalam badminton,” katanya.

Selepas 19 tahun memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, Chong Wei mengumumkan persaraannya pada Jun 2019.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebooknya, Chong Wei menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘istimewa’.

“Tidak diketahui ramai, Chong Wei dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengenali antara satu sama lain sejak 2008 apabila beliau memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

“Sejak itu, setiap tahun kami sekeluarga akan melawatnya semasa Hari Raya. Tahun ini agak istimewa kerana sudah dua tahun tidak berjumpa,” katanya.

Beliau turut berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai pembangunan badminton negara dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, yang juga penaung sukan itu di Malaysia, katanya.

--

--

Malaysia Post

Sebaran berita terkini hanya untuk anda! Sumber berita terhangat and masa kini di dalam dan luar negara! Ikutilah kami TheMalaysiaPost : www.themalaysiapost.com