UAE mengucapkan takziah, menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Malaysia
Emiriah Arab Bersatu (UAE) merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat banjir besar di Malaysia.
Kementerian Luar UAE, dalam satu kenyataan, turut menyatakan solidariti dengan kerajaan dan rakyat Malaysia dalam menghadapi bencana banjir.
Menurut laporan agensi berita Emirates (WAM), negara Teluk itu akan menghantar sepasukan sukarelawan dari Bulan Sabit Merah Emirates (ERC) untuk meninjau keadaan dan mengenal pasti keperluan mangsa yang terjejas.
Pasukan itu juga akan menyampaikan bantuan kemanusiaan dalam bentuk keperluan asas, bungkusan makanan dan ubat-ubatan.
Setiausaha Agung ERC, Dr Mohammed Ateeq Al Falahi, berkata kerajaan UAE melalui Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan di wilayah dan peringkat antarabangsa.
“Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah UAE, Sheikh Hamdan bin Zayed Al Nahyan, juga berbesar hati menghulurkan bantuan kemanusiaan segera untuk menyelamatkan nyawa dan memelihara kebajikan semua manusia,” tambahnya.
Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lalu setakat ini telah meragut 27 nyawa — dua puluh daripadanya di Selangor dan tujuh di Pahang.
Banjir turut dilaporkan berlaku di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas.