Viral video konvoi VIP mendapat layanan utama dari ambulans — penjelasan dari polis

Malaysia Post
2 min readDec 27, 2021

--

Tindakan polis menahan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans di persimpangan bagi membolehkan konvoi VIP melalui dalam insiden tular di Hulu Langat baru-baru ini adalah untuk mengelak kemalangan kerana rombongan sudah berada di jalan utama.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata terdapat risiko kemalangan dan bahaya kepada pengguna jalan raya lain jika anggota polis trafik tidak menghalang pacuan empat roda dan ambulans daripada keluar dari persimpangan.

Justeru, katanya anggota polis trafik yang bertugas membuat penilaian awal untuk memberi keutamaan kepada konvoi di jalan utama bagi mengelak sebarang kemalangan.

“Anggota polis trafik telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan itu hanya seketika kerana kenderaan utama konvoi itu menghampiri persimpangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan tindakan polis trafik selepas video yang menunjukkan sebuah pacuan empat roda dan ambulans diberhentikan di satu persimpangan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi polis itu tular di media sosial semalam.

Insiden itu dipercayai berlaku pada 11.30 pagi ketika konvoi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diiringi polis meninjau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh agensi berkaitan di kawasan terjejas banjir di Hulu Langat.

Azman berkata sebaik konvoi melepasi persimpangan itu, anggota polis trafik mengambil tindakan segera bagi memastikan ambulans dan kenderaan pacuan empat roda itu melaluinya.

“Polis juga prihatin dan komited untuk mengutamakan kepentingan awam terutama sekali membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba,” katanya.

--

--

Malaysia Post
Malaysia Post

Written by Malaysia Post

Sebaran berita terkini hanya untuk anda! Sumber berita terhangat and masa kini di dalam dan luar negara! Ikutilah kami TheMalaysiaPost : www.themalaysiapost.com

No responses yet